ALLAH berfirman di dalam surah al-Baqarah:
“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki-rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyurkurlah kepada ALLAH apabila benar-benar hanya kepada-NYA kamu menyembah.”
Imam Qurtubi menyatakan “rezeki yang baik-baik” sebagai makanan yang bermanfaat daripada segala sudut.
Makanan dan pemakanan (diet) yang baik adalah daripada bahan-bahan makanan yang seimbang dan mengikut kadar yang betul dan tidak berlebihan. Makanan yang mengandungi khasiat-khasiat yang baik yang sangat diperlukan badan adalah lebih diutamakan berbanding makanan yang kurang mendatangkan manfaat kepada badan. Makanan yang mendatangkan kepada kemudaratan hendaklah dijauhkan dan dielakkan.
Berhenti Makan Sebelum Kenyang (Bersederhana Dalam Pemakanan)
“Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah bagi anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya ia terpaksa juga maka satu pertiga untuk makanannya satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga untuk nafasnya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan an-Nasai)
Membantu Penghadaman (Teknik-Teknik Pemakanan)
“Janganlah kamu memakan sesuatu sambil bersandar.” (Hadis Riwayat Bukhari, Tirmidzi, dan Abu Daud)
“Sesungguhnya Rasulullah melarang seseorang makan di dalam keadaan berbaring di atas mukanya ataupun meniarap.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, Abu Daud dan an-Nasai)
“Rasulullah melarang sesorang tidur selepas makan kerana perbuatan itu boleh mengeraskan hati.” (Hadis Riwayat Abu Nuraim)
“Janganlah kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetapi minumlah dengan dua ataupun tiga teguk.” Sebutlah Bismillah apabila kamu hendak mulakan minuman dan pujilah ALLAH apabila kamu selesai.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
“Rasulullah minum dengan tiga nafas” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim, Anas bin Malik ra), Imam Muslim meriwayatkan kata-kata tambahan di dalam riwayatnya iaitu, “Cara minum yang seperti ini lebih menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan menghadamkan.”
“Gigitlah daging sedikit demi sedikit dengan gigi kamu. Cara ini lebih lazat dan lebih membantu penghadaman.” (Hadis Hasan Riwayat Tirmidzi)
“Rasulullah memakan sesuatu dengan menggunakan tiga jari dan baginda menjilat jari-jari sebelum mengesat tangan.” (Hadis Riwayat Muslim dan Kaab bin Malik)
Perpekstif Makanan Di Dalam Hadis Dan Sunnah
Karbohidrat
“Aku melihat Rasulullah mengambil sekeping roti gandum dan diletakkan tamar di atasnya dan memakannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Yusuy bin Abdullah bin Salam ra)
• Karbohidrat terbaik adalah karbohidrat kompleks atau complex carbohydrate, yang terdapat di dalam pasta, bijirn, gandum, nasi dan seumpamanya.
Protein
Daripada Amr bin Umayyah, “Beliau melihat Rasulullah memotong daging kambing untuk dimakan dengan menggunakan sebilah pisau. Apabila suara azan berkumandang baginda berhenti dan terus bangun untuk menunaikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim)
• Menurut kajian, kandungan protein yang terdapat di dalam setiap daging atau produk binatang, mengandungi jumlah asid-asid amino yang diperlukan oleh badan manusia secara lengkap.
Lemak
“Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia dating dari pohon yang diberkati (yang baik)”. (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)
• Lemak terbahagi kepada lemak tepu dan lemak tidak tepu. Lemak tepu mengandungi kolestrol yang banyak dan tidak digalakkan mengambilnya secara berlebihan. Manakala lemak tidak tepu pula adalah digalakkan kerana ianya lebih selamat dan cukup untuk keperluan tubuh kita. Lemak tidak tepu boleh diperolehi daripada minyak zaitun, kacang soya, kacang tanah dan jangung.
Susu Dan Produk Tenusu
Abu Hurairah berkata, “…Nabi Muhammad menyuruh agar susu kambing dibawa kepada baginda dan selepas dibawa, baginda minum segelas daripadanya. Kemudian apabila baginda diberikan gelas yang kedua baginda tidak menghabiskannya dan berkata, ‘Orang Islam minum dengan satu perut, sedangkan yang kafir minum dengan tujuh perut’”. (Hadis Riwayat Muslim)
• Susu dan produk tenusu atau dairy products, mengandungi banyak lemak tepu justeru pengambilannya perlu dihadkan. Namun produk-produk ini ada kepentingannya kerana ia mengandungi kalsium, vitamin dan kandungan-kandungan lainnya yang penting dan diperlukan oleh tubuh manusia. Justeru kita disarankan mengambilnya dalam kadar yang tertentu (memilih susu yang mempunyai kadar lemaknya yang rendah).
Buah-buahan Dan Sayur-sayuran
Abdullah bin Jaafar meriwayatkan, “Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dan sayur jenis mentimun.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
• Makanan yang baik ialah makanan yang diambil secara seimbang. Dan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buhan adalah diutamakan kerana kandungan khasiatnya yang baik yang tinggi.
Air
“Dan Kami jadikan setiap hidupan daripada air. Apakah mereka tidak beriman?” (al-Anbiya: 30). “Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan tamar. Apabila tidak memperolehi tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih.” (Hadis Riwayat Abu daud, Tirmidzi, Ahmad, dan Ibnu Majah).
• Air bersih yang segar amat bermanfaat bagi mereka yang sihat dan sakit. Air, apabila terhimpun padanya kebersihan, kesejukan yang asli dan kemanisan, paling bermanfaat memelihara kesihatan. (Ibn Qayyim al-Jauziyah)
• Air adalah bahan yang penting sebagai asas kehidupan semua jasad hidup.
Madu Lebah
“Kemudian makanlah daripada setiap macam buah-buahan dan tempuhilah jalan Tuhanmu yang dimudahkan. Daripada perut lebah itu keluar minuman madu yang bermaca-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda kebesaran Tuhan bagi orang yang mahu memikirkannya.” (an-Nahl: 69). “Sesiapa yang meminum madu lebah pada waktu pagi, tiga kali setiap bulan, dia tidak akan menghadapi penyakit yang berbahaya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
• Madu lebah apabila dicampurkan sedikit air dan diminum, ia mampu menyerap masuk ke dalam saluran darah dan terus ke otak dalam masa 7 minit dan berfungsi sebagai bahan yang bermanfaat.
• Makanan yang berupaya memberi tenaga yang baik.
• Mengandungi gula asli glukosa dan fruktosa yang mudah dihadam.
• Mengandungi pelbagai jenis vitamin di samping pelbagai zat logam.
• Khasiat madu lebah diakui dunia melalui World Apiculture Conference (20-26 September 1993) di China.
• Disahkan berkesan dengan baiknya dalam mengubati kataraks, buasir, sakit puan, pelbagai penyakit kulit, sakit puan, kulit melecur serta pelbagai lagi jenis penyakit.
• Madu lebah yang asli tidak akan dijamah oleh semut walaupun ia sangat manis.
• Bertindak sebagai bahan antkuman yang baik dan berkemungkinan menggantikan antibiotic yang ada.
Habbatus Sauda
“Habbatus sauda mempunyai penawar bagi semua penyakit kecuali maut.” (Hadis Riwayat Bukhari-Muslim)
• Mengandungi pelbagai bahan penting yang diperlukan tubuh seperti vitamin, zat besi, lemak tak tepu, protein, karbohidrat, serat, dan asid.
• Meningkatkan daya tahan badan terhadap serangan penyakit.
• Mengawal gejala asma dan alahan.
• Mengawal pertumbuhan sel-sel kanser.
• Bertindak ke atas beberapa jenis kuman (sebagai antibiotic yang baik)
Buah Tamar
Menurut Bukhari-Muslim, Abdullah bin Jaafar meriwayatkan, “Saya melihat Rasulullah memakan tamar basah dan sayur jenis mentimun.”. “Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan tamar. Apabila tidak memperolehi tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih.” (Hadis Riwayat Abu daud, Tirmidzi, Ahmad, dan Ibnu Majah).
• Mengikut kajian, 100 gram tamar mengandungi 60%-70% karbohidrat, 15.3% air, 2.5% protein, 0.4% lemak, 2.1% zat-zat logam dan 3.9% serat. Kandungan serat yang tinggi dan lemak yang rendah di dalam tamar amat berkhasiat bagi manusia.
• Sesetengah pengkaji Amerika berpendapat, tamar adalah makanan yang ideal pada zaman ini kerana manusia pada zaman ini memerlukan makanan yang mampu membekalkan banyak tenaga (karbohidrat dan serta) tetapi rendah lemaknya.
Makanan Hasil Proses Kejuruteraan Genetik
“Syaitan berkata, ‘Aku akan suruh mereka mengubah ciptaan ALLAH.’ Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindungnya selain ALLAH.’ Sesungguhnya dia akan menderita dengan kerugian yang nyata.”(an-Nisa’: 119). “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Hadis Riwayat Imam Malik, al-Hakim, Baihaqi, dan Ibnu Majah)
• Islam menerima sesuatu yang bermanfaat selagi mana ia tidak bercanggah dengan dasar-dasar agama. Jika sesuatu bahan itu mendatangkan manfaat, maka kita dibolehkan mengambilnya tetapi jika sebaliknya, adalah lebih baik menolaknya. Makanan kurniaan ALLAH yang secara semula jadi adalah lebih baik dan amat mencukupi serta sangat berkhasiat, jadi, mengapa perlu lagi kepada pengubahan?
BEBERAPA MAKANAN YANG HARAM (DILARANG) DAN MEMUDARATKAN
ARAK DAN ALCOHOL
“Wahai mereka yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menelek nasib dengan menggunakan panah, adalah perbuatan yang keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya.” (al-Maidah: 90). “Sesungguhnya arak bukanlah ubat, tetapi sebaliknya ia adalah penyakit.” (Hadis Hasan Sahih Riwayat Tirmidzi)
• Arak merupakan sejenis ethyl alcohol dan dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan.
• Alcohol atau arak apabila diminum, ia akan terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu dan kemudian mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan kekhayalan, gangguan penglihatan, ingatan, keseimbangan dan sebagainya.
• Apabila gangguan sedemikian terjadi, ia bukan sahaja akan menggangu diri sendiri tetapi juga orang lain.
• Arak atau alcohol juga menggangu denyutan jantung dengan melemahkan otot-ototnya. Ia juga menaikkan tekanan darah. Selain itu, ia juga menggangu system dan fungsi hati serta merosakkannya. Menyebabkan radang pancreas, kanser esophagus dan perut.
• Ketagihan arak banyak dikaitkan dengan perbuatan yang membahayakan dan bunuh diri. Ini dibuktikan melalui statistic punca-punca kemalangan, tindakan ganas, dan masalah kesihatan yang amat menggerunkan.
ROKOK
Ummu Salamah berkata, “Rasulullah melarang daripada mengambil setiap bahan yang memabukkan (muskir) dan yang melemahkan badan (muftir).” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud). “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” (Hadis Riwayat Imam Malik, al-Hakim, Baihaqi, dan Ibnu Majah). “Dilaknat seseorang yang mendatangkan kemudaratan kepada seseorang mukmin yang lainnya ataupun menipunya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi). “Dan dia (Rasul) menghalalkan segala yang baik dan mengharamkan segala yang buruk (khabaith).” “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam perkara dosa dan permusuhan.” (al-Maidah: 2)
• Rokok mengandungi lebih 4000 bahan kimia berbahaya yang bertindak kepada tubuh sedikit demi sedikit. (kesannya adalah sangat buruk lebih-lebih lagi untuk jangka masa yang panjang)
• Punca utama barah dan radang paru-paru adalah rokok.
• Risiko untuk mendapat sakit jantung koronari adalah sangat tinggi apabila seseorang itu terdedah kepada rokok.
• Memberi kesan yang sangat buruk kepada bayi di dalam kandungan samaada untuk jangkamasa pendek atau panjang.
• Asap rokok membahayakan orang lain di sekeliling.
• Membeli rokok akan membantu dalam melakukan dosa. Ini kerana rokok adalah hasil produk Yahudi dan barat. Maka dengan membelinya, kita secara sengaja atau tidak dan secara sedar atau tidak, maka kita akan mengeluarkan sejumlah wang untuk mendermakan duit kita kepada mereka. Seperti yang kita maklum, Yahudi dan Barat adalah musuh utama umat Islam. Maka musuh Islam akan bertambah kaya raya dan mudah untuk menindas saudara-saudara kita seIslam hasil berkat derma kita kepada mereka melalui rokok.
• Hukum merokok adalah haram kerana ia mendatangkan terlalu banyak keburukan dan dalam masa yang sama ia juga membantu musuh Islam menghancurkan umat Islam serta membahayakan bukan sahaja diri sendiri tetapi orang lain. Hukum ini diputuskan oleh ulama-ulama besar dan masyhur dunia seperti Syeikh Ahmad as-Sanhuri al-Bahuti dan Syeikh Ibrahim al-Liqani dari Mesir, Syeikh Abdul Ghaith al-Maliki dari Morocco, Syeikh Najmuddin bin Badruddin dari Syiria, Syeikh Ibrahim bin Jam’an dari Yaman, Syeikh Abdul Malik al-Isyami dan Muhammad bin ‘Alamah dari Mekah dan Madinah serta ramai lagi ulama dunia. Hukum haram kepada pengambilan rokok juga turut difatwakan oleh ulama kontemporari terkini dan termasyhur dari Universiti al-Azhar Mesir iaitu Prof. Dr. Yusuf al-Qardhawi.
BABI, BANGKAI DAN DARAH
“Sesungguhnya Allah mengharamkan kepadamu bangkai, darah dan daging babi.” (al-Baqarah: 173)
• Pelbagai jenis virus menghuni badan babi. (Babi adalah perumah kepada pelbagai virus berbahaya)
• Antara virus tersebut adalah Anthrax, Influenza, Leptospirosis dan pigbel.
• Babi adalah sangat bahaya kepada manusia dan ini dibuktikan melalui kajian yang dibuat oleh Alix Fano (M.A), Murry J. Cohen (M.D), Marjorie Cramer (M.D.,F.A.C.S), Ray Greek (M.D), dan Stephen R. Kaufman (M.D). Mereka mendapati bahawa antara penyakit-penyakit yang dibawa oleh babi boleh membawa maut sebagai contoh leptospirosis. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang.
• Darah adalah bahan (medium) pengankutan dalam tubuh yang membawa pelbagai jenis bahan (samaada bahan buangan (kumuh) atau bahan keperluan badan). Jadi darah adalah sesuatu yang kotor untuk diambil sebagai makanan. Begitu juga dengan bangkai, ia adalah bahan yang kotor kerana tidak melalui proses sembelihan (pembuangan darah).
0 comments:
Post a Comment
tHaNk yOu...